Tuesday, October 4, 2011

BIASKAN RINDU INI~BAB SATU




Titisan gerimis yang asyik membasahi bumi Bukit Indah sedari tadi mendinginkan suasana. Hening. Alam seperti enggan tersenyum. Langit mendung, langsung tiada tanda-tanda untuk matahari memunculkan diri. Semuanya seakan bermuram. Seakan memahami gelojak nurani gadis yang sedari tadi asyik termenung di balkoni. Berdiri sambil tangan menongkat dagu. Sudah lama dia begitu. Rambutnya separas bahu dibiarkan saja ditiup angin. Sesekali mencecah pipi mulusnya. Wajahnya tiada tercalit sedikit pun senyuman. Tidak pula dia menangis. Namun raut wajahnya jelas terpancar kekusutan. Hambar dan sugul yang terlihat jelas menggambarkan beratnya masalah yang sedang ditanggung.

Masalah? Hm memang perkara itu sudah selesai. Sudah tiada apa-apa lagi. Tapi dia bukanlah sengaja mahu tangisi perkara yang sudah lepas. Bukannya dia tidak boleh menerima kenyataan. Bukanlah dia masih berharap kekasih hati miliknya akan kembali kepadanya. Dia redha. Dia sendiri tidak larat untuk meratapi perpisahan itu. Namun, manalah dia mampu untuk bertenang bila perpisahan itu mengheret pula dia ke masalah yang lebih besar daripada itu.

Hanna mengeluh. Majlis pernikahannya tinggal tak sampai sebulan saja lagi. Kad undangan kebanyakannya sudah selamat sampai ke tangan saudara mara serta sahabat handai. Ibu dan ayahnya sedang sibuk mengatur itu dan ini. Adik beradiknya bersemangat menyiapkan sponsor masing-masing. Saudara terdekat juga begitu. Pendek kata, semuanya sedang ghairah membuat persiapan untuknya. Hanna resah bukan sedikit. Resah memikirkan bagaimana untuk menghentikan persiapan mereka dengan ungkapan “Hanna tak jadi nikah”

Sungguh dia tidak sanggup. Ungkapan itu bukan setakat meragut kegembiraan mereka. Malah boleh meragut nyawa ibunya yang sememangnya menghidap penyakit darah tinggi. Hanna buntu. Sekarang ini memang dia tak ada masa nak bersedih dengan pemergian Hariz. Hatinya seakan lupa akan kesedihan itu. Mungkin kerana terlalu memikirkan dilema yang maha hebat ini. Dia mengeluh untuk kesekian kali. Dalam pada fikirannya berserabut memikirkan  penyelesaian untuk membatalkan majlis perkahwinan, benaknya diasak pula dengan cadangan Hadif. Cadangan gila. Buat masa ini, itulah penilaiannya terhadap cadangan bakal abang ipar tak jadinya itu.

“Abang minta maaf. Abang tau Hanna mesti fikir cadangan abang ni mengarut. Tapi, buat masa ni, ini sahaja cara yang abang rasa boleh keluarkan Hanna dari masalah ini,”

Hanna membisu. Tunduk. Selepas dia melopong untuk beberapa ketika, terbit pula rasa segan bila mendengarkan cadangan itu. Ah abang! Kenapa la kau juga tak mahu ketinggalan  untuk mengasak dadaku dengan bermacam rasa dan persoalan.

“Tak bang. Kenapa mesti macam tu. Kenapa abang mesti terheret sama dalam masalah ni. Lagipun.. ah, mengarutlah bang!” tukasnya

“Ya, abang tahu memang mengarut. Tapi.. apa lagi pilihan yang kita ada? Hanna sanggup ke kecewakan ibu dengan ayah Hanna?”

Hanna diam. Memang dia tiada jawapan untuk itu. Memang tak ada cara lain. Tapi.. takkanlah begini penyelesaiannya. Sungguh, tak masuk akal!

“Hanna.. abang minta maaf. Abang bukan berniat nak ambil kesempatan atas masalah Hanna. Abang cuma nak membantu. Hariz tu adik kembar abang. Abang rasa bertanggungjawab atas apa yang dia dah lakukan. Abang tak boleh biarkan Hanna macam tu aje. Abang kena tolong,”

Hanna masih tidak bersuara. Cuma tangannya menguis-nguis straw di gelasnya.

“Abang faham perasaan Hanna. Memang Hanna tak boleh terima semua ni. Tapi, apa lagi pilihan yang kita ada. Abang nak tolong Hanna dengan ikhlas. Akan takkan minta apa-apa hak dari Hanna. Lepas tu, terpulang pada Hanna untuk buat keputusan. Hanna fikir-fikirkanlah dulu. Apa pun keputusannya nanti, abang terima,” ujar Hadif perlahan, mengakhiri pertemuan mereka tengah hari itu.

Ketukan di pintu rumahnya mematikan Hanna dari lamunan. ‘Mira dah balik? Ah, sudah pukul lima rupanya,’ getusnya seraya bergegas membuka pintu.



Selesai menunaikan solat Maghrib dan berwirid ringkas, dia mencapai Al-Quran dan kembali duduk di sejadah. Cadangnya mahu menghabiskan baki dua helai surah dari juzuk ke dua puluh. Kesibukan di pejabat akhir-akhir ini membuatkan dia selalu tidak berkesempatan untuk mengaji. Jadi, masa terluang yang ada malam ini akan digunakan sebaik mungkin. Dia tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk mengkhatamkan bacaannya kali ini.

Hanna mengalunkan bacaan ayat-ayat suci itu dengan perlahan. Namun begitu masih jelas kelunakan suaranya. Tenang fikirannya ketika ini. Bebas dari memikirkan apa-apa. Mindanya khusyuk menghayati kalimah yang Maha Esa. Dia senang begitu.
Tamat sahaja bacaan, Hanna menarik nafas dalam-dalam. Jauh di sudut hati, dia memanjat kesyukuran atas nikmat yang masih dimiliki. Syukur dia masih dikurniakan sedikit kekuatan dalam menghadapi dugaannya walaupun seringkali dia goyah.

Deringan telefon bimbit di atas katil mengejutkannya. Pantas dia bangun dan mencapainya. Dia menghela nafas berat tatkala melihat nama yang tertera di skrin. Seboleh mungkin dia mahu mengelak dari menjawab panggilan itu. Deringan itu dibiarkan sehingga berhenti dengan sendirinya. Selang beberapa saat, telefon itu kembali berdering. Hanna mencapai juga dan punat answer ditekan.

“Assalamualaikum ummi..” ucapnya perlahan

“Waalaikumsalam.. Hanna.. kenapa susah sangat ummi nak bercakap dengan kau sekarang ni ha?” suara Hajjah Halimah kedengaran nyaring di hujung sana. Hanna meneguk liur.

“Em maaf la ummi. Hanna sibuk sikit sekarang.. Hanna kan nak cuti lama nanti. Kena la siapkan apa-apa yang patut kat pejabat tu,”

“Ya ummi tahu. Tapi takkan lah nak bercakap sekejap pun tak sempat. Ummi telefon siang memanglah kau sibuk. Ni ummi telefon malam pun selalu tak berangkat jugak. Hm ni ummi nak tanya. Kau dah telefon Mak Yam belum?”

“Telefon Mak Yam buat apa ummi?”

“Ya Allah budak ni.. kan hari tu ummi pesan suruh kau telefon Mak Yam, bagi ukuran baju kau tu. Kau tak bagi lagi lah ni?” Hajjah Halimah sudah mula meninggikan suaranya.

“Ala.. Hanna lupalah ummi. Em kejap lagilah Hanna telefon dia,”

“Lupa? Hanna.. kau tahu kan Mak Yam kau tu banyak tempahan. Sebab tu dari dulu lagi ummi suruh kau cepat-cepat telefon dia. Suruh balik ukur baju engkau tak nak. Suruh telefon pun engkau tak telefon-telefon lagi. Buatnya baju engkau tak sempat siap nanti macam mana?”

 “Ya ummi. Hanna tau. Hanna janji Hanna telefon Mak Yam secepat mungkin. Ummi jangan risau ok,”

“Macam mana ummi tak risau. Majlis dah dekat. Kami kat sini macam lipas kudung buat persiapan untuk engkau. Engkau kat sana senyap aje. Ummi ingatkan ok la.. Tapi tengoklah.. Hanna.. tinggal tiga minggu je lagi.. Dah tak ada masa kau nak lupa itu ini.. Ummi tak nak nanti dah saat-saat akhir banyak lagi yang tak siap. Kelam kabut nanti,” panjang lebar leteran ummi.

“Hm Hanna minta maaf ummi. Kejap lagi Hanna terus telefon Mak Yam. Dua tiga hari lagi surut la kerja-kerja kat pejabat tu. Bolehlah Hanna buat persiapan lain yang ummi suruh tu,”

“Yelah.. kau jangan cakap aje Hanna. Buat apa yang ummi pesan. Ha ok lah.. abah engkau nak makan tu. Nanti ummi telefon lagi,”

“Ok ummi.. Hanna janji.. kirim salam kat abah ye,”

“Insyaallah.. jaga diri engkau elok-elok. Kerja jangan teruk-teruk sangat. Ingat engkau tu darah manis,’

“Ye ummi. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam,”
Hanna cepat-cepat menamatkan perbualan. Tidak sanggup lagi mendengar bebelan umminya. Kalau dilayan, entah bila agaknya baru boleh berhenti. Risau benar Hajjah Halimah pada persiapan Hanna. Maklumlah, anak bongsu. Kalau boleh untuk majlis yang terakhir untuknya ini biarlah sempurna semuanya. Dia bukanlah mahukan majlis yang gah. Cuma mahu kelihatan sempurna di setiap sudut. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sedikitpun terlihat cela pada majlis itu nanti. Sebab itu dia menggesa semuanya membuat persiapan secepat mungkin dengan penuh teliti, termasuklah Hanna sendiri. Walhal tuan empunya majlis itu tidaklah seghairah mana.

Hanna tiba-tiba sebak. Usahanya untuk menyembunyikan apa yang berlaku sedikit sebanyak telah memaksanya untuk berbohong. Rasa bersalah mencuit tangkai hatinya. Berdosanya dia berbohong pada ibunya. Anak derhakakah dia? Hanna buntu. Nak berterus-terang dia tidak mampu. Ah, bencinya dia dengan keadaan tersepit macam ni.

Air matanya mengalir lagi…